SELAMAT DATANG

Taming Sari Art Production atau (TSAP) telah di tubuhkan pada Julai 2008 dan di daftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).TSAP diasaskan oleh penuntut dan pelajar jurusan pengarahan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Mohd Hamizi Indin dan penubuhannya atas dasar kewujudan sebuah organisasi yang bergiat aktif dalam seni persembahan dengan penumpuan kepada aspek-aspek artistik, pengurusan dan penganjuran bengkel,acara pentas dan produksi seni persembahan.Selain merancang dan melaksanakan kegiatan seni persembahan untuk golongan remaja dan dewasa.

RAKAN KARYA

TAMING SARI ART PRODUCTION
INGIN MENCARI RAKAN KARYA
BAGI BERKONGSI IDEA
DALAM SENI PEMENTASAN
TEATER DAN TARI.
PENGURUSAN TSAP MENGALUA-ALUKAN
SESIAPA SAHAJA
UNTUK MENYERTAI DAN BEKERJASAMA
BAGI MENJANA IDEA KREATIF
KE ARAH PERSEMBAHAN
YANG MANTAP DAN BERKUALITI.

UNTUK MAKLUMAT SILA HUBUNGI
017 313 1957 (MIZI)
012 6441786 (AIN)

Selasa, Julai 22

FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2008

Oleh LENNY ERWAN

KEPUTUSAN Festival Teater Malaysia 2008 sudah pun diumumkan. Sarawak dengan Tukang Ensera menang besar, diikuti Selangor (Wajah Lumpur) dan Kedah (Hamlet). Saya rasa semua orang berpuas hati dengan keputusan ini. Ramalan saya pun sebahagian besarnya mengena, terutama jangkaan Pengarah Terbaik dan Juara Festival memang tidak ada lain pilihan saya melainkan Sarawak. Cuma tekaan bagi kategori pelakon tersasar sikit. Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik tidak ada masalah, saya rasa semua orang setuju dengan kemenangan mereka berdua. Cuma saya sangkakan si genit Severina (Sarawak) itu mungkin lebih sesuai memenangi Pelakon Wanita Harapan bagi memberi laluan kepada Ophelia (Hamlet -Kedah) merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Tapi tak kisahlah, itu jangkaan saya sebagai penonton. Juri lebih arif pertimbangannya. Saya okey aja.Kemenangan Sarawak menepati jangkaan kerana persembahan mereka yang bersih dan terkawal. Meskipun pacing cerita agak slow tetapi jalan ceritanya mempunyai paksi yang kukuh dan konsepnya dibentuk rapi. Lebih daripada itu para pelakonnya sangat kuat, interpretasi pengarah jelas dan yang paling memikat hati penonton adalah komitmen mereka mengangkat elemen tradisi dalam persembahan. Perubahan latar meyakinkan dan benar-benar membentuk dua alam yang berbeza, tidak sekali-kali mengelirukan penonton. Cuma sesekali saya mengeluh juga kerana beberapa perbuatan diulang-ulang, tetapi kekuatan watak utamanya menjadikan kita boleh menanti cerita sehingga tamat.Wajah Lumpur oleh Selangor juga adalah persembahan yang mengkagumkan, tetapi dalam sesebuah pertandingan, persembahan realisme harus mencari formula yang SANGAT HEBAT untuk mengatasi markah persembahan yang menggunakan teknik peralihan dua zaman. Apatah lagi peralihan itu berlaku dengan cemerlang seperti yang dilakukan oleh Sarawak. Tetapi rekaan pentas dan sinografi kumpulan Selangor adalah tunjang utama kepada kehebatan persembahan mereka, selain lakonan mantap para pemain. Jadi, syabas kepada Selangor kerana memberi saingan hebat.
Ketika saya menonton Hamlet oleh Kedah, saya suka dengan attitude persembahan ini. Mereka mengetengahkan sikap yang konsisten, di mana pelakon dan pengarah mencapai persetujuan untuk bermain dengan cara yang sama. Tetapi saya kira, pemaknaan kepada naskah ini harus lebih besar daripada sekadar bermain dengan lenggok kata-kata. Mungkin kerja adaptasi harus mengambil tempat dengan lebih serius. Hamlet yang ini kalau tak silap saya adalah terjemahan Indonesia (Trisno Sumardjo), yang mana jiwa dan gaya bahasanya sangat jauh daripada pengalaman dan pemahaman kita. Mungkin inisiatif boleh diambil dengan mengusahakan terjemahan terus Inggeris ke bahasa Malaysia. Saya sudah menulis mengenai perkara ini dalam Berita Harian pada tahun 1999, ketika Faridah Merican mengarahkan naskah yang sama untuk para pelajar ASK di The Actor's Studio ketika itu.
Bagaimanapun saya terharu dengan kesungguhan AKRAB memberikan interpretasi yang bersungguh-sungguh dan menarik terhadap naskah Shakespeare ini. Suntingan terhadap pementasan ini sangat cantik dan kemas. Penggunaan korus sangat efektif dan tidak membazir, malah sebenarnya membantu memadatkan cerita. Walaupun ada something missing - seperti babak Mouse Trap (lakonan semula pembunuhan ayah Hamlet di hadapan Claudius) yang tidak dieksplorasi sepenuhnya serta babak Penggali Kubur (ditiadakan) yang sebenarnya sangat penting dalam pengisahan Hamlet - mungkin juga kerana tragedi Hamlet sukar ditempatkan di alam Melayu, maka ia mengurangkan markah di beberapa bahagian. Menggunakan paten Randai memang menarik tetapi gagal mengadaptasi nama-nama watak dan latar ke budaya yang relevan memunculkan kekeliruan besar. Tetapi sekurang-kurangnya saya lebih suka Hamlet yang ini berbanding Hamlet terakhir yang saya lihat di Actor's Studio dua tahun lalu.Persembahan lain harus diakui walaupun nampak berusaha tetapi masih tidak mencapai standard muncul juara. Tunku Kudin terlalu menumpukan pada aspek teknikal, tetapi pengisian jiwa terhadap watak-watak tidak dibangunkan. Hamletmashine ada pelakon yang bagus tetapi mengendali naskah eksperimen seperti ini bukan saja perlu keberanian dan keinginan, tetapi harus ada pengetahuan dan kebijaksanaan tentang karya dan zaman karya itu ditulis. Pemikiran penulis yang gagal diinterpretasi dengan baik hanya akan menampakkan persembahan yang caca-merba. Manakala kumpulan dari Kelantan dengan Dilema Baginda Sultan dibarisi pelakon muda yang sangat-sangat berbakat, tetapi interpretasi naskah membataskan keupayaan mereka untuk pergi lebih jauh.Tahniah dan syabas kepada semua. Saya mempunyai nostalgia yang sangat manis dalam acara ini kerana saya adalah salah seorang anak seni yang lahir daripada kegiatan Pekan Teater. Ada orang kata teater jangan dipertandingkan kerana ia subjektif. Tetapi kepada saya apa salahnya bertanding? Tidak ada apa yang salah, tetapi yang perlu dibetulkan adalah niat kita. Kalau nak bertanding, tandinglah dengan semangat karyawan dan setiakawan yang tinggi. Saya gembira dengan gabungan persembahan para peserta di malam penutupan. Itulah matlamat festival ini sebenarnya. Yang penting mereka enjoy, ukhwah terjalin dan ada pengalaman manis untuk dikenang selepas tamat festival.
Pada malam kemenangan, trofi dan anugerah menjadi sangat penting dan kita akan terawang-awang sebentar. Tetapi ia bukanlah penting untuk selama-lamanya. Anugerah dan penerimanya silih-berganti, tetapi semangat menghidupkan teater itu yang kekal selama-lamanya